Filem Libang Libu antara filem yang banyak diperkatakan di media sosial terutamanya pada sebelum dan awal tayangan di pawagam. Katanya bakal menjadi antara filem melayu komedi paling kelakar tahun 2026.
BACA JUGA : Review Filem Magik Rompak 2025
Jadi disebabkan itu, aku tertariklah untuk menonton filem ini di pawagam selepas beberapa hari tayangan rasmi dibuat pada 23 April 2026. Nak tahu betul ke unsur komedi dengan loghat Perak itu menjadi kali ini? Ini review untuk filem Libang Libu
Info Filem Libang Libu
Libang Libu merupakan sebuah filem komedi arahan Bobby Husaini. Filem ini menampilkan barisan pelakon popular seperti Beto Kusyairy, Amerul Affendi, Nabila Huda dan Ozlynn Waty sebagai watak utama.
Selain itu, terdapat juga nama-nama besar seperti Sara Ali, Nadia Aqila, Dato Razak Ahmad, Sabri Yunus, Zahiril Adzim, Azhan Rani, Alvin Wong, Anas Ridzuan, Syazwan Zulkfily dan ramai lagi.
Sinopsis Filem Libang Libu
Filem Libang Libu bermula dengan kisah apabila sebuah produksi filem memilih kampung Along Alid sebagai lokasi pengembaran. Daripada itu, maka terjadilah pelbagai kisah lucu dan tragis antara 2 beradik iaitu Along Alid dan Man Filem.
Man Filem yang dibelenggu hutang keliling pinggang akibat terjebak dengan taik judi yang memaksanya untuk menjual tanah dan mencuri duit abangnya tanpa pengetahuan abangnya sendiri.
Dalam keadaan tersebut, terjadi pelbagai adegan lucu dan ragam orang kampung dengan kisah tersendiri. Adakah akhirnya Along Alid akan memaafkan adiknya Man Filem atas semua kesalahan yang dibuat tersebut?
Review Filem Libang Libu
Untuk permulaan, Libang Libu merupakan bahasa atau loghat Perak yang membawa maksud tidak tentu arah atau perasaan serabut. Jika anda tengok filem ini, anda boleh rasa perasaan Libang Libu tersebut.
Sebelum aku datang ke pawagam, aku ada dapat satu review yang mengatakan filem ini ‘sesuai keluar Netflix sahaja’. Ianya membawa maksud, filem ini tidak lah yang terbaik, meskipun reviewer pada awalnya bagi tahu filem ini sangat kelakar dan sebagainya.
Disebabkan itulah, aku rasa terpanggil nak tengok sendiri, betul ke filem ini hanya layak di Netflix sahaja dan bukan dipanggung wayang.
Barisan Pelakon Popular
Kalau tengok barisan pelakon yang terlibat dalam filem ini bukan biasa-biasa. Ramai juga nama-nama besar yang terlibat, even muncul sebagai cameo. Pelakon best, cerita mungkin akan jadi best.
Dalam cerita ini juga, kita dapat lihat pelakon yang sinonim dengan watak serius, tetapi kali ini membawa watak kelakar terutamanya untuk watak Along Alid dan Man Filem daripada Beto Kusyairy dan Amerul Affendi.

Biasa kita tengok mereka ini bawa watak-watak serius, gangster, tapi kali ini kita tengok mereka pula berjenaka. Setiap watak yang dibawa semua menjadi. Bawa watak gedik, lelaki lembut, gangster ada iman, kaki judi, even watak bangladesh pun dibawa sangat baik oleh barisan pelakon.
Bukan itu sahaja, kebanyakkan pelakon yang terlibat dalam filem ini juga bukan orang Perak, tetapi masih mampu untuk melontarkan loghat Perak dengan baik. Beto orang KL, Amerul Affendi orang Pahang dan sebagainya. Tapi ok lah, even tak pekat pun.
Plot Terabur
Kalau baca review awal daripada filem ini, antara komen yang kebanyakkan dilontarkan di media sosial adalah berkaitan plot penceritaan. Aku rasa, ini aku setuju. Plot dia macam terabur sikit.
Start dari awal lagi, penonton sudah ditayangkan dengan babak shooting untuk produksi filem. Katanya untuk menghasilkan sebuah cerita dan diumumkan watak hero yang ramai orang kampung tertunggu-tunggu.
Tapi bila sampai di tengah cerita. Tiba-tiba babak ini hilang. Tiada lagi adegan shooting filem. Semua dah fokus kepada watak Man Filem dengan ketagihan judi. Ditambah pula dengan isu hubungan antara Andak Meor dan Timah Lebor.

Daripada komen tersebut, mungkin ada yang kata, itulah tujuan maksud ‘Libang Libu’. Tapi sebab ini filem orang bayar kan. Jadi mungkin sebab itu ada yang tidak bersetuju dengan plot yang dibawakan.
Unsur Kelakar – Adakah Cukup?
Sebenarnya selain daripada barisan pelakon dan plot yang dipersembahkan, elemen lucu atau kelakar juga sangat penting. Filem ini dibawa genre filem komedi, jadi komedi itu perlu ada.
Bagi aku elemen lucu itu ada, tapi sangat sedikit. Kadang ada yang tak sampai dan ada yang yang try hard untuk buat kelakar. Takkan nak kelakar je, kena letak watak lelaki lembut. Tak best lah.
Pasti ramai penonton yang jangka, filem dengan loghat Perak ini akan banyak punch line seperti yang ditunjukkan daripada filem-filem Mamat Khalid. Tapi tidak. Kadang loghat Perak pun macam tak banyak sangat.
Seingat aku, babak kelakar adalah ketika Along Alid buka ‘buah’. Kemudian masa babak ‘Nak Tahu Tak?’ dan juga adegan daripada Shakoor Rahman. Yang lain tu macam biasa-biasa sangat lah.
Best Tak Nak Tonton Di Pawagam
Secara keseluruhan, filem ini masih baik. Boleh je nak tonton di pawagam untuk hilang stress. Nak tonton filem santai-santai dan tidak perlu kepada perah otak untuk fikir. Masih ada elemen lawak.
Kalau nak support filem tempatan, memang kena la pergi sendiri tonton Libang Libu di pawagam. Kemudian barulah anda komen sendiri adakah anda berpuas hati atau sebaliknya.
Libang Libu : 6.5/10 ⭐